Kampung Layang-layangan, Wilayah Persekutuan Labuan - 28 Jun 2021 : Hari terakhir pelaksanaan PKPD Bersasar di beberapa lokaliti yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti di sini.
Sejak 15 Jun 2021, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan telah melaksanakan Lockdown Secara Bersasar di 8 lokaliti yang terdapat di sini yang mempunyai jumlah kes positif dan kontak rapat yang tinggi berbanding mana-mana sub zon lain. Antara lokaliti yang dikenakan Lockdown Bersasar adalah kampung aku sendiri, iaitu Kampung Layang-layangan. Meskipun begitu, tidak semua blok (atau dikenali sebagai simpang) yang terdapat di kampung aku termasuk dalam Lockdown Bersasar tersebut seperti blok aku hingga ke blok berhampiran Jambatan Merinding.
Bagi memastikan penduduk-penduduk yang berada di 8 lokaliti tersebut sentiasa mempunyai bekalan makanan yang mencukupi, MKN Labuan telah membenarkan kedai-kedai yang berada di dalam lokaliti masing-masing untuk terus beroperasi dengan syarat hanya seorang sahaja wakil yang dibenarkan datang untuk membeli bekalan sama ada secara walk-in ataupun mengambil barang di pintu luar kedai, bergantung kepada kedai-kedai mengikut lokaliti masing-masing.
 |
Penghadang polis dan penguatkuasa Perbadanan Labuan yang diletakkan di Blok 7, Kampung Layang-layangan, Wilayah Persekutuan Labuan |
 |
Kawat duri besi yang diletakkan bersama penghadang bagi menghalang pergerakan keluar dan masuk orang kampung sepanjang tempoh Lockdown Bersasar |
 |
Pita 'Garisan Polis' yang berwarna kuning turut dipasang pada penghadang tersebut bagi menyampaikan mesej larangan masuk dari luar ke dalam lokaliti Lockdown Bersasar |
Tidak kurang daripada itu, bagi memastikan kebajikan penduduk yang mempunyai masalah dalam mendapatkan bekalan-bekalan asas, Perbadanan Labuan telah mengambil inisiatif untuk memberikan bekalan-bekalan tersebut kepada setiap lokaliti bagi meringankan beban penduduk-penduduk yang terjejas. Malah terdapat juga kelab-kelab yang terdiri daripada anak-anak tempatan yang turut menjalankan program kemasyarakatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD Bersasar seperti Kelab Belia Anak Layangan misalnya yang turut mengambil inisiatif sama.
 |
Bantuan kemasyarakatan daripada Kelab Belia Anak Layangan kepada penduduk-penduduk yang terjejas di kampung ini. Sumber: Facebook Page Kelab Belia Anak Layangan |
 |
Kelihatan bekalan-bekalan asas diletakkan pada meja bagi membantu keluarga-keluarga yang terjejas. Sumber: Facebook Page Kelab Belia Anak Layangan |
 |
'Sedekah, Silakan Ambil Terima Kasih', rak turut disusun dengan makanan yang diletakkan di hadapan salah sebuah rumah yang terdapat di Kampung Layang-layangan. Sumber: Facebook Page Kelab Belia Anak Layangan |
Bermula 29 Jun 2021, Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memasuki PKP Fasa 1 yang sedikit longgar berbanding PKPD dengan membenarkan perkhidmatan-perkhidmatan perlu untuk terus beroperasi dan setelah mendapat penilaian daripada KKM yang mengatakan Labuan tidak ada lagi menunggu keputusan daripada ujian saringan secara besar-besaran di 8 lokaliti tersebut.
Comments